Bab 1 ~ Along sayangkan dia?

“Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng.”
(Riwayat Muslim)

“RESTUILAH along untuk berkahwin dengan dia, umi,” pintanya lembut dan perlahan. Penuh mengharap. Sudah dapat diduga reaksi umi yang begitu terkejut dengan permintaannya. Dan lebih menekan perasaannya kerana tahu umi tentu terluka dengan keputusan itu.

Emir pandang wajah uminya dengan dada bergetar. Mungkinkah dia telah menghancurkan harapan wanita itu? Mungkinkah umi akan sakit hati dengan keputusannya? Ampunkah Emir umi, hatinya merintih.

Hajah Latifah mengeluh lemah. Majalah MIDI yang dibeleknya sejak tadi sudah tidak menarik perhatian lagi. Sejak Emir menyuarakan hasrat mahu menyunting Harlina sebagai isteri, terasa dadanya bagai dipalu.

Kenapa? Langsung tidak pernah diduga anak lelakinya akan meminta sesuatu yang cukup berat untuk ditunaikan. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Bukankah selama ini Emir begitu bijak untuk menentukan setiap keputusan dalam hidupnya? Kenapa sekarang dia sanggup membuat pilihan sebesar itu?

Baginya, menikahi Harlina adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Tidak sanggup dibayangkan gadis itu menjadi menantunya kelak.

“Tapi bagaimana dengan Intan? Sebelum ni along sendiri sudah setuju untuk jadikan Intan sebagai calon isteri. Kenapa sekarang ubah keputusan? Cuba cakap dengan umi terus-terang.” Hajah Latifah merenung wajah anaknya. Mahu mencari sebab atas permintaannya.

Kemudian, anak matanya mendarat pula ke arah Haji Lukman, suaminya yang sedang tersandar di sofa. Kelihatan sedang termenung jauh. Tetap tenang. Nampak tidak terusik dengan keputusan anak sulong mereka itu.

Kata-kata Hajah Latifah membuatkan Emir tertunduk beberapa saat. Rasa bersalah usah ditanya. Sudah berbongkah-bongkah sedang menghimpit di dalam dada. Tetapi hasratnya untuk menikahi Harlina begitu kuat.

“Mungkin jodoh Emir bukan dengan Intan,” ucapnya tenang. Sedangkan kerongkongnya terasa begitu perit.

Bukannya Intan tidak cukup baik. Malah, gadis itu cukup sempurna pada pandangan matanya sebagai seorang lelaki. Cantik dan menarik. Bahkan, Intan adalah graduan lulusan Syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Dari sudut keturunan pula, sudah tidak dapat dipertikaikan lagi. Keluarga mereka sudah lama saling mengenali. Dan tentu sahaja semua ciri-ciri yang ada pada gadis itu seharusnya menjadi ukuran untuk dijadikan calon isteri.

Tetapi bagi Emir, hatinya telah terdorong untuk melakukan sesuatu yang lebih besar. Yang lebih bererti. Sepotong hadis yang dibaca minggu lalu terus berlegar-legar di minda.

Sesungguhnya dunia itu semuanya adalah kenikmatan bersifat sementara. Sebaik-baik kenikmatan dunia ialah memiliki wanita solehah.

Bait-bait itu sering mengusik hatinya. Ya! Dia mahu seorang isteri yang solehah. Yang elok, cantik zahir dan batin pada pandangan matanya. Dia percaya Intan mampu menjadi wanita yang solehah pada mana-mana lelaki yang baik, sedangkan Harlina perlukan seorang khalifah untuk dipimpin menuju kebenaran.

Kini, hatinya sudah tekad untuk bergelar suami kepada gadis seperti Harlina. Halangannya sekarang cuma persetujuan uminya. Tetapi dia yakin, walau kebal dan kental bagaimana sekalipun, hati seorang ibu tentu cair dengan keinginan anaknya. Dia pasti umi akan mengalah jua.

“Umi dah pernah bertanyakan tentang Intan pada Mak Ngah Shimah kamu. Dia pun seperti tiada halangan,” ujar Hajah Latifah, bergetar.

Suara umi mencantas lamunan Emir.

Hati hajah Latifah terus walang. Bimbang memikirkan apa pula kata Shimah, dua pupunya itu nanti? Sedangkan awal-awal lagi dia bagai memberi harapan dan gambaran untuk menyatukan Emir dan Intan. Walaupun hasratnya itu tidak diluahkan secara terbuka.

“Umi dah berjanji dengan mak ngah ke?” tanya Emir.

“Belumlah sampai mengikat janji. Cuma hati umi sendiri dah terpaut pada Intan. Elok sangat untuk Emir pada pandangan mata umi,” luah Hajah Latifah dengan suara dalam dan serak. Terkilan.

Zety dan Kamelia, dua orang lagi anak Hajah Latifah dan Haji Lukman hanya diam menikus. Mereka sekadar memasang telinga. Tidak betah menyampuk. Namun, hati kedua mereka begitu tertanya-tanya kenapa abang mereka begitu beria-ia memujuk umi menerima Harlina sebagai menantu.

Zety mencuit peha Kamelia. “Kenapa dengan along tu? Tak ada orang lain ke nak buat bini?” soalnya sambil berbisik dengan bibir muncung dan mata mencerlung. Dia memang tidak setuju kalau perempuan itu yang bakal menjadi kakak iparnya.

Kalau ikutkan hati mahu sahaja dibangkang macam dalam sidang parlimen yang selalu dilihatnya di skrin TV. ‘Apalah yang elok pada Kak Lynn tu. Berbeza betul dengan along. Macam langit dengan bumi. Bak air dengan minyak.’

Zety membuat perkiraan sendiri. Kalau Kak Lynn + along = pinang kena gelek lori balak. Memang hancusss! Tak ada chemistry langsung. Mana ada persamaan! Kalau bersatu juga memang kecoh rumah tangga mereka nanti. Hatinya membuat rumusan sendiri. “Tak sesuai langsung!”

“Shyy…” Kamelia meningkah.

“Tak kuasalah! Mintak-mintak janganlah dia jadi keluarga kita…” komen Zety lagi ke telinga kakaknya.

Kamelia meletak jari telunjuk ke bibirnya. Isyarat agar adiknya diam. Khabar yang along bawa memang boleh buat sesiapa sahaja tersentap.

Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba sahaja pokok bergoyang. Siapa yang tak terkejut besar? Namun, dia yakin along ada alasan yang cukup kuat.

Haji Lukman sejak dari tadi cuma mendengar dengan tenang. Dia juga bagaikan tidak percaya dengan usul anak lelakinya itu. Tetapi baginya, Emir cukup bijak dalam membuat keputusan dan memilih.

Walau gadis mana sekalipun yang bakal jadi menantunya, dia terima dengan redha. Cuma hatinya terus diulit tanda tanya. Kenapa Emir begitu tekad memilih Harlina sebagai isteri?

Emir pandang wajah umi dengan perasaan semakin tertekan. Dia dihimpit keresahan. Bagaimana kalau umi benar-benar menentang? Sedangkan keinginannya untuk memperisterikan Harlina tidak mungkin berubah.

“Tapi kenapa Emir. Kenapa kamu buat keputusan begini? Apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Hajah Latifah lagi, masih tidak berpuas hati

“Emir ada sebab tersendiri, umi.”

“Along sayangkan dia?” Hajah Latifah ingin mendapatkan kepastian.

Emir mengangguk.

“Jadi selama ini along dengan Lynn bercinta?”

Emir geleng.

“Jadi apa sebenarnya perasaan along pada dia?”

Emir menarik nafas panjang dan dalam. Hakikatnya dia tidak pernah mencintai gadis itu. “Tak… along tak cintakan dia, tapi along sayangkan dia,” beritahunya jujur. Bila berdepan dengan umi dia tidak mampu berbohong.

“Habis tu, kenapa kamu mahu menikahi Harlina?” soal Hajah Latifah lagi dengan suara sedikit tegang.

Semua mata sedang memaku pada Emir. Baik Haji Lukman atau Zety dan Kamelia, masing-masing inginkan penjelasan yang lebih logik.

“Habis tu kenapa? Kerana kamu rasa terhutang budi dengan Tan Sri Kamarul? Begitu?” soal Hajah Latifah dalam. Ya, mungkin benar Emir mahu membalas jasa-jasa bekas majikan suaminya itu. Selama ini mereka sekeluarga memang terlalu banyak terhutang budi pada lelaki budiman itu.

Bukan seringgit dua wangnya dihabiskan semata-mata mahu melihat Emir menamatkan pengajian di luar negara. Dari kecil sehinggalah sudah berjaya begini, terlalu banyak jasa Tan Sri Kamarul dan keluarganya tabur. Jadi, inilah agaknya bayaran yang perlu Emir lakukan untuk melunaskan harga budi yang telah mereka terima.

Emir menggeleng. “Bukan sebab mahu balas budi, umi,” beritahu Emir perlahan. Kalau diikutkan, Tan Sri Kamarul juga terhutang budi dengannya. Tetapi bukan kerana itu yang menjadi faktor kenapa dia mahu mengambil Harlina sebagai isteri.

“Habis tu… kenapa along? Cuba cerita dengan umi betul-betul supaya umi faham apa sebenarnya tujuan kamu?”

“Entah-entah along dengan Kak Lynn dah…” Zety menutup mulut bila tahu dia sudah terlajak kata. Tambah pula mata umi sudah tajam menikam ke arahnya. Rusuknya pula sudah terasa sengal kerana disiku Kamelia.

“Hisy! Bila cakap tu, cuba pakai otak, boleh tak?!” marah Kamelia dengan mata mengecil.

Hajah Latifah dan Haji Lukman tersentap juga. “Astagh-firullahalazim…” Mereka beristighfar hampir serentak.

“Along tak buat benda-benda macam tu. Jangan risau.”

Hajah Latifah urut dada mendengar jawapan Emir itu. Nafas panjang terhela bebas. “Jadi siapa yang paksa along?”

“Tak ada siapa yang paksa. Percayalah umi, along lakukan semua ini sebab sayangkan Harlina. Bukan kerana sesiapa. Tapi keputusan ini along buat atas niat yang baik.” Kemudian Emir terdiam seketika.

“Maksud kamu?” Haji Lukman bersuara tiba-tiba.

“Biarlah along seorang sahaja yang tahu kenapa. Tapi percayalah, keputusan ini bukan kerana mahu membalas budi atau dibuat dengan melulu. Along sudah fikir masak-masak. Baik dan buruknya.”

Hajah Latifah masih belum mampu membuang segala resah di dalam dadanya sebaik mendengar jawapan itu. Apa sebenarnya yang terselindung di hati anaknya? Dia masih belum benar-benar mengerti. Keliru dan curiga. Mungkinkah ada sesuatu yang cuba dirahsiakan?

Ada keluhan panjang terhela di bibir Haji Lukman. Memang benar seperti apa yang diduga. Emir membuat keputusan bukan kerana taksub dengan perasaan cinta seperti pasangan muda mudi sekarang. Tetapi anaknya itu membuat keputusan kerana sesuatu yang lebih besar dan bererti.

Sebagai seorang bapa dan lelaki, dia boleh meneka keputusan anaknya. “Abah faham tujuan along. Dan abah tak membantah dalam soal ini. Along buatlah keputusan yang difikirkan baik.”

“Abang!” tekan Hajah Latifah sedikit kecewa. Kata-kata suaminya seakan-akan memberi restu. Kenapa suaminya tidak mahu menentang seperti mana yang sedang dia rasakan?

Zety dan Kamelia berpandangan dengan rasa tidak percaya.

“Biarlah Emir tentukan sendiri siapa pilihannya, Latifah. Kita sebagai orang tua hanya patut memberi nasihat mana yang perlu sahaja,” ujar Haji Lukman, dalam. Bagaikan memujuk hati seorang ibu yang terluka.

“Kita sepatutnya halang keputusan Emir. Saya tak mahu dia kecewa di kemudian hari. Keputusan yang anak kita buat tu bukannya seperti pilih baju. Tapi dia sedang menentukan masa depannya.

Menentukan pasangan hidupnya, bang,” luah Hajah Latifah dengan suara bergetar. Hatinya mula sebak apabila membayangkan perkara itu akan menjadi kenyataan.

“Latifah… abang tak menyuruh dan abang tak membantah. Kita serahkan pada Emir untuk fikir dan buat keputusan.”

Kolam mata Hajah Latifah sudah mula terasa hangat. Pandangan matanya meleret semula ke wajah Emir. “Kenapa Harlina yang mesti along pilih? Kita tak setaraf dengan keluarga mereka, nak. Malah, kedudukan kita cukup berbeza.”

“Tapi itu bukan ukuran kebahagiaan sesebuah perkahwinan, umi. Soal darjat, harta dan pangkat sudah tidak penting lagi,” pujuk Emir.

“Ya… memang benar. Bahkan, sudah ada panduan bagaimana seorang lelaki harus mencari isteri. Takkan along tak tahu?” soal Hajah Latifah.

Emir tertunduk lemah. Dia mengerti maksud umi. Malah, ciri-ciri seorang wanita yang harus dijadikan panduan dalam memilih calon isteri sudah tersenarai satu per satu di dalam kepalanya.

Paling penting, tentu sahaja beriman dan solehah. Gadis yang berpegang pada akidah dan sentiasa menghambakan diri kepada Penciptanya. Tetapi, Harlina sudah nyata tidak menjadikan keindahan Islam sebagai jalan hidupnya kini.

Dan sikapnya terlalu sukar untuk difahami. Malah Tan Sri Kamarul sendiri tidak segan silu memberitahu anak perempuan tunggalnya itu semakin susah dikawal.

Apa yang pasti, rupa paras dan kejelitaan Harlina sahaja yang tidak dapat disangkal. Gadis itu memang memiliki kecantikan asli yang tersendiri. Tapi sayang keindahan itu sering sahaja menjadi tontonan umum. Tidak terjaga dan dipelihara dengan sewajarnya.

Kalau dilihat dari segi keturunan pula, dia cukup kenal siapa Tan Sri Kamarul. Walaupun berpangkat dan berharta, lelaki itu cukup kaya dengan budi pekerti. Sering sahaja merendah diri dengan apa yang dimiliki. Dan amalannya pula cukup terjaga. Kerana itulah juga rasa hormatnya kepada lelaki itu begitu menebal.

“Along… umi harap kamu tak akan terburu-buru buat keputusan. Umi nak tengok kamu bahagia bila berumah tangga nanti.”

Emir menghampiri uminya. Lalu tangan wanita itu dicapai dan dikucup dengan rasa rendah hati. “Umi, along dah buat keputusan. Along ikhlas mahu melamar Harlina sebagai isteri,” ujarnya lambat-lambat.

Hajah Latifah memejam mata. Sebak di dadanya tidak dapat ditahan lagi. Air matanya hampir tumpah dengan kehendak anaknya itu. Apakan dayanya mahu menghalang.

“Tolonglah umi… along rayu. Berilah restu untuk along teruskan hasrat ini. Hanya keizinan umi yang akan buat along bahagia dunia dan akhirat,” rayu Emir.

Mutiara jernih terlerai juga dari kelopak mata Hajah Latifah. Gugur bersama rasa hati yang terasa ngilu dengan permintaan Emir. Tetapi hatinya cukup berat. Terlalu takut untuk merelakan. Bagaimana jika suatu hari nanti Emir terluka dan kecewa? Bagaimana jika Harlina tidak dapat membahagiakan anaknya?

Kamelia memandang dengan hati sayu. Dia melangkah menghampiri abang dan uminya lalu bersimpuh di sisi mereka. “Along betul-betul nak kahwin dengan Kak Lynn?” soalnya sambil menyorot pandang dengan dada sebak. Sejauh itu along sanggup berkorban untuk keluarga Tan Sri Kamarul?

Lelaki itu mengangguk sambil menghantar senyuman pada adiknya. Wajah tenang Kamelia bagaikan memberi sedikit kekuatan kepadanya.

“Tapi Zety tak setuju dengan keputusan along,” sampuk gadis itu tiba-tiba sebaik sahaja dia duduk di sebelah Hajah Latifah. Tangannya sudah bersilang dengan lengan uminya. Mintak-mintak janganlah umi mengalah dengan permintaan along, seru hatinya berkali-kali.

Sejak usul itu dibentang, di kepalanya sudah terbayang-bayang lagak egois, sombong dan kekwat Harlina yang bakal menjadi kakak iparnya. Kerana itu juga hatinya amat menentang keras.

“Umi tahu niat along baik… tapi jangan lupa, keputusan ini adalah keputusan seumur hidup. Along sanggup?” tanya Hajah Latifah.

Emir mengangguk perlahan. Sudah banyak kali dia menimbang baik dan buruknya. Malah, dia juga telah meminta pertolongan dari-NYA supaya hatinya benar-benar yakin dan pasti.

Haji Lukman pula hanya memandang sayu pada isterinya yang sedang menyapu air mata. Hatinya tercuit juga. Cuma dia tidak betah menentang hasrat Emir. Kalau benar anak lelakinya sudah dibukakan pintu hati untuk melakukan niat sebesar itu, dia pasrah pada ketentuan-NYA.

Selama ini dia cukup kenal siapa Harlina. Sejak dari bayi lagi dia melihat gadis itu membesar. Mereka bukan lagi orang asing. Tetapi sayang, masa dan keadaan telah membentuk gadis itu tidak seperti apa yang Tan Sri Kamarul dan Puan Sri Zalina angankan.

Bab 2 ~ Serahkan saja pada takdir

Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling berhak ke atasku untuk diberi perhatian? Rasulullah menjawab: IBUMU. Kemudian lelaki tadi bertanya lagi: Selepas itu siapa? Baginda SAW menjawab: IBUMU. Kemudian siapa? Baginda menjawab: IBUMU. Kemudian siapa? Baginda menjawab: AYAHMU.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

SEBAIK selesai mengaminkan doa dan melipat marhana, Hajah Latifah merapati suaminya yang sedang leka membaca buku panduan mengerjakan umrah. Tahun ini Insya-ALLAH, akan tiba giliran mereka ke sana lagi setelah selesai menunaikan haji tiga tahun lalu. Semuanya dibiayai oleh Emir.

“Abang… saya berat hati untuk beri restu pada along. Susah benar saya nak terima kenyataan bahawa Harlina adalah pilihan anak kita. Risau saya bang,” luahnya bersama helaan nafas panjang.

Perlahan-lahan Haji Lukman menanggalkan kaca mata. Buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman di tangannya ditutup lalu di letak di meja sisi katil. Dia duduk tegak. Bersandar di kepala katil.

“Latifah… kalau memang itu pilihan along. Kita restu saja permintaannya. Walaupun awak dah berkenan sangat dengan Intan, tapi awak kena ingat, yang nak kahwin tu along. Dia yang nak beristeri bukannya abang.” Sempat lagi Haji Lukman cuba berjenaka dengan isteri kesayangannya.

“Ke situ pulak abang.”

Haji Lukman ketawa kecil.

“Saya ni risaukan anak kita, bang…”

Wajah gerhana isteri direnung dalam. Lantas nafas panjang dihela perlahan-lahan. “Mungkin sudah sampai masanya untuk dia kahwin.

Umur pun dah lanjut bukannya muda lagi. Sudah hampir 30. Sepatutnya kita bersyukur sebab along sudah sampai seru untuk mendirikan masjid.”

“Itu saya tahu. Tapi kenapa mesti dengan Harlina? Kenapa perlu dengan anak Tan Sri Kamarul? Tak sesuai bang… tak kena langsung mereka berdua berganding bersama.”

“Itu kata awak. Tapi kalau along sendiri dah berkenan, buruk macam mana di pandangan kita, tetap elok di mata dia,” kata Haji Lukman.

“Itu yang saya pelik. Intan yang cukup lengkap semua sifat sebagai calon isteri tapi dia tak mahu.”

“Latifah… awak sendiri tahu selama ini anak kita sentiasa berfikir panjang sebelum mengambil sesuatu tindakan,” celah Haji Lokman.

“Tapi itu lain…”

“Lain apa pulak. Dia dah besar panjang. Sudah banyak pengalaman untuk menimbang baik buruk setiap tindakan.”

“Tapi ini soal memilih calon isteri bang… bukannya mudah. Kalau dengan orang lain selain Intan sekalipun, mungkin saya masih boleh terima. Tapi bila along pilih Harlina saya kesal, bang… kesal!” luah Hajah Latifah.

“Saya tahu budak tu serba serbi kekurangannya. Tapi, kan awak sendiri sudah dengar pendirian along.”

“Macam mana gadis macam Harlina nak uruskan suami. Abang sendiri tahu budak tu anak manja. Makan pakai sendiri pun orang lain yang kena uruskan. Macam mana dia nak jaga along?” keluh Hajah Latifah.

“Awak cuma nampak keburukan, cacat celanya. Sedangkan kebaikannya mungkin awak tak tahu.”

“Apa yang baiknya, bang? Harlina tu kerja pun tidak. Yang dia tahu cuma habiskan harta Tan Sri Kamarul. Belajar pun tak mahu. Ditinggalkan separuh jalan. Berhenti tak bersebab. Asyik habiskan masa dengan kawan-kawan. Keluar sana sini tak ada arah tujuan. Balik lewat malam. Bukannya saya tak tahu.”

Segala-galanya tentang Harlina sudah tersimpan kemas dalam pengetahuan Hajah Latifah. Gadis itu terlalu bebas bergaul. Masih terbayang lagi peristiwa tahun lepas ketika kenduri arwah Puan Sri Zalina.

Belum sempat semua tetamu pulang, Harlina sudah menyalin baju. Bukannya yang elok yang disarungkan ke badan. Tapi terdedah sana sini. Dengan t-shirt sendat dan jeans ketat. Langsung tak punya rasa malu depan orang ramai. Tanpa segan silu gadis itu terus keluar bersuka-suka dengan kawan-kawan. Memang tak kenal adab!

Malah, apabila ditegur Marlia dengan lembut, Harlina balas dengan herdikan. Usahkan hati Marlia, dia sendiri tersentuh dengan sikap gadis itu. Tidak tahu hormatkan orang tua. Kalau Kamelia dan Zety bersikap begitu, sudah lama anak-anak gadisnya dilibas dengan rotan bambu. Biar tubuh anaknya berbirat sekalipun dia rela. Asalkan budi pekerti mereka terjaga.

Dan kini, apabila mengenangkan gadis itu yang akan Emir sunting sebagai suri hidupnya, hati ibu mana yang betah untuk menerima? Dia benar-benar tidak sampai hati membiarkan anaknya sengsara jika gadis itu juga tidak dapat menerima atau hormatkan Emir sebagai suaminya kelak.

“Astagfirullahalazim… Latifah… bawak mengucap. Awak terlalu cepat menghukum. Berilah dia peluang untuk belajar dan berubah, Latifah. Lama-kelamaan nanti tentu dia tahu tentang tanggungjawab.”

“Saya tak yakin, bang. Lagipun dia bukan pilihan hati saya,” luah Hajah Latifah, sarat dengan rasa kecewa.

Sejak dulu lagi dia impikan seorang menantu yang mampu menjadi isteri solehah buat Emir. Baginya, Emir adalah anak yang cukup taat dan baik. Terasa sejuk perutnya mengandungkan dia sembilan bulan dulu. Tapi kenapa ini pula hakikat yang terpaksa dia terima. “Saya mahu anak kita hidup bahagia bila berkahwin nanti.”

“Jadi… awak rasa dia tak akan bahagia dengan anak Tan Sri?

“Nak bahagia macam mana kalau Harlina yang jadi pilihan. Saya cukup tak berkenan dengan tingkah budak tu. Tak sesuai dijadikan menantu. Liar! Semakin tak terkawal!”

“Hisy! Awak ni Latifah. Tak baik menghina orang.” Haji Lukman tidak suka isterinya memburuk-burukkan sesiapa. Kerana sikap mencaci orang lain sebenarnya bagai mencaci diri sendiri. Apatah lagi jika sesama islam. Dia tahu Hajah Latifah tidak berniat begitu. Tetapi mungkin didorong oleh rasa tertekan. Dan sebagai suami, dia wajib mengingatkan.

Teguran suaminya membuatkan Hajah Latifah beristighfar di dalam hati. Memang benar kata-kata suaminya. Sebagai insan, mereka tidak berhak membuat tuduhan begitu. Hanya DIA saja yang lebih mengetahui. Tetapi jiwanya benar-benar terpukul menerima hasrat anaknya. “Maafkan saya, bang. Bukan niat saya mahu memburukkan sesiapa.”

Haji Lukman mengangguk perlahan. “Yalah Latifah… tapi ingat, jangan kita menghina orang. Lebih baik doakan sahaja kesejahteraan mereka kalau ada yang tidak elok,” nasihatnya dengan satu keluhan panjang. Sesungguhnya, jauh di dasar hati dia sebenarnya redha dengan pilihan Emir.

Sudah cukup lama dia kenal dengan Harlina. Malah, rasa sayangnya dengan gadis itu bagai kasihkan anak sendiri. Tidak dapat dinafikan betapa dia amat berharap Harlina akan sedar dan kembali ke pangkal jalan.

Sudah sekian lama gadis itu membesar di depan matanya. Rasa simpatinya pada Harlina tidak dapat ditepis. Dan dia percaya masih ada kebaikan dalam diri gadis itu.

Ketika mula-mula bekerja dengan Tan Sri sebagai pemandu hampir 20 tahun yang lalu, dia cukup tahu tentang sejarah keluarga Tan Sri. Dan seingatnya, Harlina dulu bukan begitu perangainya. Dia budak yang baik dan berbudi pekerti.

Cuma setelah Puan Sri Zalina kembali ke rahmatullah tujuh tahun lalu, sikap Harlina semakin berubah. Hari demi hari dia mula jadi seorang gadis yang pemarah dan suka membentak.

Haji Lukman sendiri tidak tahu kenapa gadis itu telah berubah dengan begitu drastik. Malah, Tan Sri cukup kesal dan runsing dengan setiap perubahan negatif yang anaknya alami saban hari.

“Bang… tak boleh ke kita halang keinginan along?”

Soalan isterinya menyentak lamunan Haji Lukman. “Kita tawakal saja, Latifah. Serahkan segala-galanya kepada ALLAH. Hanya DIA yang lebih mengetahui jodoh, ajal dan maut setiap hamba-NYA.”

Sekali lagi terdengar keluhan berat isterinya.

“Kalau memang sudah suratan nama Harlina yang tertulis sebagai pasangan anak kita di Lohmahfuz, tiada apa yang dapat menghalang jodoh mereka berdua. Kita tak boleh menolak takdir ALLAH. Berdoa sajalah…” kata Haji Lokman.

“Tapi saya takut along kecewa satu hari nanti…”

“Sudahlah… kita restukan sahaja niat anak kita. Awak ibunya. Doa awak cukup mustajab. Mintalah pada ALLAH untuk kebahagiaan along. Abang pasti dia tentu dilindungi ALLAH.”

Demi kebahagiaan Emir, perlukah dia membuang segala rasa kecewa yang sedang bersarang di dalam dadanya ketika itu? Betapa terkilan rasa hati kerana tidak dapat bermenantukan Intan. Masih terngiang-ngiang perbualannya dengan Shimah beberapa bulan lalu.

“Baik betul Intan tu, Shimah. Pandai kau didik anak. Mesti jadi rebutan anak-anak muda. Memang beruntung teruna mana yang yang jadi suaminya nanti.”

“Tak ada yang istimewanya tentang Intan tu, Latifah. Sama saja macam anak orang lain. Saya pun kalau boleh mahu dia lekas-lekas kahwin. Kita ni entahkan bila pejam mata.

Entah-entah esok lusa. Tapi kalau dia dah bersuami, lega hati saya ni. Sekurang-kurangnya ada orang jaga.”

“Intan tak ada pilihan hati sendiri?” tanya Hajah Latifah.

“Si Intan tu manalah tahu nak berkasih-kasih macam orang-orang muda sekarang ni. Nak diajak keluar pun susah. Hari-hari cuma pergi dan balik kerja. Bila cuti hujung minggu pun asyik terperuk di rumah.”

“Kalau macam tu elok sangatlah Shimah. Anak bujang akak pun belum jumpa lagi calon isteri. Biar kita kenal-kenalkan dulu. Mana tahu kalau-kalau serasi,” cadangnya dengan rasa teruja. Teringin sangat melihat Emir mendirikan rumah tangga. Tambah pula Emir sendiri sudah cukup bersedia.

Dan sejak itu dia dan Shimah sering sahaja saling berkias-kias untuk menyatukan Emir dan Intan. Cuma kesempatan sahaja belum ada.

“Janganlah awak bimbangkan tentang along lagi. Serahkan saja pada takdir. Kalau memang jodoh dia dengan anak Tan Sri, kita pasrah.”

Suara Haji Lukman menyentak lamunannya. Hajah Latifah mendesah. Terbayang wajah Harlina, gadis bertubuh kecil molek yang cukup manis tetapi terlalu moden pada pandangannya. Dia memang cantik dan menawan. Tapi sayang, setelah meningkat dewasa, gadis itu seolah-olah hilang pedoman. Mungkin kerana ketiadaan ibunya.

Ya ALLAH… kejamkan dia kerana terlalu mementingkan diri sendiri? Berdosakah dia kerana terlalu berburuk sangka sehingga tidak rela menerima Harlina sebagai menantu?

Sedangkan gadis itu amat memerlukan bimbingan dan sokongan. Dia perlukan seseorang khalifah untuk memimpinnya menuju ke jalan yang benar setelah Tan Sri sendiri sudah habis ikhtiar.

Bab 3 ~ Saya tak sanggup, uncle

“Mahukah aku beritahu kamu semua tentang harta paling bernilai? Iaitu isteri solehah. Apabila suaminya melihat padanya dia berasa senang dgnnya, apabila dia menyuruh, isterinya patuh dan menjaga maruah suami ketika ketiadaannya.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

ZIKIR Emir panjang. Sebaik selesai solat istikharah, dia terus bermunajat pada ALLAH dengan penuh kusyuk dan dengan hati yang cukup tenang. Hanya kepada-NYA dia meminta agar ditunjukkan kebenaran dan ditetapkan pendirian. Agar dia tidak akan kesal dengan pilihannya kelak.

Setelah selesai, dia berbaring di atas katil. Mata yang masih tegar untuk lena memaksa dia mencapai senaskah buku yang baru dibeli semalam atas meja kerja di sudut bilik.

Suami Soleh: Hadiah Buat Isteri yang solehah. Buku setebal hampir 300 muka surat itu dibuka helai demi helai. Kemudian matanya terhenti pada muka surat yang menarik minatnya.

Nawaitu dan doa untuk menjadi suami mithali adalah persiapan  paling awal untuk menjadi pemimpin sesebuah rumah tangga.

Ya, memang dia sudah sudah memasang hasrat untuk menjadi suami yang baik kepada isterinya. Dan doanya tidak pernah putus.

Emir terus khusyuk dengan bacaannya. Kemudian hatinya terusik apabila membaca tentang langkah-langkah menjadi seorang suami. Dia terus ralit.

Sentiasa tingkatkan iman dan takwa dengan sembahyang taubat, istighfar, memaafkan dan sering minta maaf, sentiasa bermuhasabah diri dan baiki amalan serta tindakan.

Ayat-ayat itu membuatkan akalnya terfikirkan sesuatu. Benarkah dia sudah bersedia menjadi seorang suami untuk seorang gadis seperti Harlina? Soalnya sendiri. Cabarannya pasti berat. Malah, rintangan pasti datang tiada henti. Benarkah dia cukup bersabar dan mampu menangkis apa sahaja dugaan?

“Tapi kenapa along? Kenapa kamu buat keputusan begini? Apa sebenarnya yang berlaku?”

Suara umi sebentar tadi mencuri tumpuannya. Benarkah dia sayangkan gadis itu atau keputusannya sekadar didorong oleh rasa simpati? Tetapi kepada siapa? Pada Harlina atau pada Tan Sri Kamarul?

Dan peristiwa yang berlaku kira-kira sebulan lalu mula menjengah. Masih terbayang di mindanya wajah kecewa dan sedih yang lelaki itu tanggung. Sebagai seorang bapa tentu sahaja Tan Sri Kamarul berasa kalah dan tewas untuk mendidik anak sendiri.

Pasti hancur luluh perasaannya apabila bakal suami Harlina sanggup memutuskan ikatan beberapa bulan sebelum majlis pernikahan dilangsungkan.

“MAAF uncle… saya tak boleh kahwin dengan Harlina. Maafkan saya kerana terpaksa membatalkan pernikahan kami.” Kata-kata Hairul spontan dan lancar. Seakan sudah tidak dapat diubah lagi. Begitu tekad diluahkan tanpa menunjukkan sebarang keraguan.

Jelas tergambar raut terkilan di wajah Tan Sri Kamarul. Namun, dia tetap cuba bertenang. Seolah-olah tidak terkejut dengan tindakan anak muda itu.

“I know this will make you upset. Tetapi saya tidak benar-benar tidak boleh teruskan pernikahan ini. Saya tak sanggup, uncle.”

“Tapi kenapa, Hairul?” Suara Tan Sri Kamarul tetap tenang.

Anak muda itu tertunduk dengan raut wajah serba salah.

“Uncle marah-marah dan paksa pun tak guna kalau kalian memang sudah tidak ditakdirkan bersama. Mungkin ada gadis lain yang lebih baik buat Hairul. Tapi boleh uncle tahu kenapa?”

Lama Hairul terdiam. Bagaikan berat mahu meluahkan apa yang berbuku di dadanya.

“Berterus-teranglah, Hairul…” Tan Sri Kamarul sedikit mendesak.

“Sebab Harlina bukan gadis yang saya bayangkan sebelum ini. Saya tak boleh terima sikap dan pendiriannya. We think differently in different languages. And I know it will never work between us.”

Tan Sri Kamarul mengangguk. “Uncle faham…” Namun tiba-tiba dia mengaduh dengan mata terpejam. Seolah-olah sedang menanggung sakit yang bukan sedikit. Bukan sahaja jiwanya nampak bagai tersayat, tetapi perkara itu turut mengganggu kesihatannya juga.

“Uncle okey?” soal Emir dengan perasaan bimbang. Dia memang sedia maklum tentang kesihatan Tan Sri Kamarul yang sering terjejas lewat waktu ini. Jantungnya semakin lemah. Malah, doktor sudah menasihati agar dia tidak terlibat lagi dengan kerja-kerja pejabat atau terlalu tertekan dengan sebarang masalah.

Tan Sri Kamarul ketap bibir sambil pejam mata lagi.

“Uncle tak apa-apa?” soal Hairul pula dengan riak bersalah sambil mengurut belakang lelaki itu.

“I’m okay… don’t worry. I’m fine…” ujar Tan Sri Kamarul beberapa ketika kemudian.

I’m so sorry, uncle. I didn’t mean to hurt anybody, but I cannot help it. Saya tak mampu terima Harlina sebagai isteri. Maafkan saya,” pinta Hairul perlahan dengan wajah bersalah.

“Uncle tahu Harlina tidak cukup baik untuk dijadikan isteri.”

Hairul tersentak dengan kata-kata Tan Sri Kamarul. Dia mendesah lemah. Tertunduk. Bibirnya bergetar, namun tiada kata-kata yang keluar.

Emir sendiri terkejut kenapa lelaki sebaik Hairul sanggup memutuskan ikatan pertunangan itu, sedangkan majlis nikahnya akan berlangsung beberapa bulan sahaja lagi. Kenapa baru sekarang? Tentu ada sesuatu yang berlaku. Hatinya tidak dapat mengusir tanda tanya. Dia juga mahu tahu apa yang sedang bergolak di dalam dada pemuda di hadapannya.

“Uncle sendiri tahu pernikahan ini adalah pilihan ibu saya. Memang saya tidak membantah. Malah, saya benar-benar ingin mengenali Harlina. Tapi…”

“Tapi kecantikan luaran Harlina tidak mencerminkan keperibadiannya yang sebenar?” spontan Tan Sri Kamarul mencelah.

“Sepanjang masa pertunangan dan sejak mula mengenali Harlina dengan lebih dekat, saya… saya…” Pemuda itu terdiam. Kata-katanya tidak mampu diteruskan. Dia seolah-olah sedang berperang dengan perasaan sendiri.

Tan Sri Kamarul mengangguk dengan wajah kecewa. “Uncle faham. Tak perlulah Hairul terangkan lagi. Memang uncle tak boleh paksa dalam hal ini. Hanya Hairul yang lebih tahu siapa pilihan hati. Dan ternyata gadis itu bukan Harlina.”

Dia pandang wajah kedua mereka silih berganti dengan rasa simpati. Belas sekali melihat wajah Tan Sri Kamarul yang kecewa.

Hairul meletakkan sekeping gambar di atas meja. “This photo belongs to you,” beritahunya perlahan.

Tan Sri Kamarul tersenyum hambar. “Uncle terima keputusan Hairul dengan hati terbuka. Things happen for a reason.” Bibirnya bergetar.

“Bukan niat saya mahu menyakiti hati sesiapa. Tapi soal ini melibatkan masa depan saya. Antara kami tiada keserasian. And once again… I’m so sorry,” pinta Hairul lagi sambil menggenggam kemas tangan Tan Sri Kamarul.

“Uncle tak salahkan Hairul.”

“Maafkan saya kerana tak dapat mendekatkan keluarga kita,” pinta Hairul lagi dengan pandangan sayu.

“Uncle gembira Hairul berterus-terang daripada cuba berkorban hati dan perasaan demi keluarga. Uncle sepatutnya jelaskan siapa Harlina lebih awal sebelum cuba menyatukan kamu berdua,” ujar Tan Sri Kamarul lirih sambil menatap gambar itu dengan hati tersayat pilu.

Hairul yang duduk bertentangan meraup rambut ke belakang.

“Tentu Harlina bukan gadis yang kamu bayangkan selama ini,” ujar Tan Sri Kamarul. Dia tersenyum pahit.

Pemuda itu sekadar diam. Tidak mengia atau menidakkan.

“Uncle terima keputusan kamu. Uncle tak boleh paksa dalam hal ini kerana uncle sendiri lebih kenal siapa Harlina.” Suara Tan Sri Kamarul begitu hiba. Dia menatap gambar di tangan dengan pandangan cukup sebak. Gadis itu kelihatan ayu sekali dengan berkurung dan berselendang. Nampak cukup manis dan menarik. “Anak uncle cuma kelihatan ayu dan cantik di dalam gambar ini sedangkan hakikatnya dia tidak sebegitu…”

“Uncle…” potong Hairul lirih. Lelaki itu nampak benar sedang menanggung rasa bersalah. Akhirnya, lelaki itu jelaskan jua kenapa dia mengambil keputusan untuk menamatkan ikatan pertunangan

Emir mengeluh panjang. Lamunan itu terus bermain-main di fikirannya. Tentang hubungan dua keluarga yang terpaksa diputuskan. Dan memorinya terus melayang lagi. mengenangkan perbualannya dengan Tan Sri Kamarul ketika menghantar lelaki itu pulang.

“MAAFKAN uncle kerana telah banyak susahkan Emir,” ujar Tan Sri Kamarul sebak dan dalam.

“Saya tak keberatan membantu.”

Lelaki yang sudah melebihi separuh abad itu terus memegang dada. Sebotol ubat diambil dari dashbord lalu sebiji ubat dikeluarkan. Disuakan ke mulut disusuli dengan beberapa teguk air mineral.

Are you okay , uncle?” soal Emir bimbang.

Sejak bertemu Hairul, Tan Sri Kamarul mula menunjukkan tanda-tanda sakitnya menyerang. Dia tersandar lemah di kerusi dengan mata terpejam.

“Beginilah kesihatan uncle, Emir. Semakin berusia semakin bermasalah. Penyakit pun semakin kerap datang.”

“Saya rasa kita tak perlu ke pejabat. Lebih baik kalau saya hantar uncle ke rumah.”

Lelaki itu mengangguk setuju. “Uncle kecewa dengan Harlina, Emir. Dan uncle juga kecewa kerana lelaki sebaik Hairul tak dapat jadi menantu, uncle. Malah bapa Hairul, Datuk Khalid adalah rakan uncle yang paling rapat. Kami dah lama kenal dan berharap perkahwinan ini akan mendekatkan lagi kedua keluarga. Tapi sayang…” ujarnya dengan suara bergetar. Bagai sedang menangisi nasib diri.

“Mungkin Harlina tak setuju dengan rancangan ini kerana dia sudah ada pilihan hati?”

“Tak Emir… dia sudah bersetuju untuk menerima sesiapa sahaja pilihan uncle sebagai menantu.”

“Sabarlah uncle… saya percaya suatu hari nanti dia akan berubah juga. Dan mungkin jodohnya dengan lelaki yang lebih baik.”

“Uncle pun berharap begitu. Tapi entahlah… sampai bila Emir? Bilakah agaknya Harlina akan berubah seperti gadis-gadis lain? Dia tidak menentang secara terang-terangan. Tetapi cukup halus dan menyakitkan.”

Emir tidak mampu berkata-kata. Dia sendiri tidak percaya dengan apa yang telah diceritakan Hairul. Harlina sanggup datang bertandang ke rumah bakal mertuanya dengan hanya berseluar pendek dan memakai t-shirt sendat.

Tentu sahaja kedua ibu bapa Hairul amat terkejut dengan penampilan dan tingkah laku Harlina. Masakan ada mertua yang sanggup menerima menantu yang bersikap begitu. Kerana itulah mereka sepakat untuk memutuskan tali pertunangan yang telah terjalin hampir setahun yang lalu.

Pada mulanya Hairul memang tidak pernah mengenali Harlina kerana hubungan mereka diatur keluarga. Hanya melihat gambar, memandangkan Hairul sendiri masih menuntut di luar negara. Tetapi apabila sudah bertentang mata, semua kecantikan dan kebaikan yang dibayangkan tentang gadis itu terus lenyap.

“Salah uncle sendiri kerana tidak mampu membimbing Harlina menjadi seorang gadis yang baik.”

Dia sendiri tidak mampu mengulas apa-apa. Bimbang jika kata-katanya mungkin menyentuh hati Tan Sri Kamarul.

“Entahlah… hari demi hari dia kian berubah. Semakin liar dan susah untuk dilentur lagi,” keluh lelaki itu sambil memicit pelipis.

“Kita hanya mampu berdoa kepada-NYA…”

“Uncle cuma harap ada lelaki yang sanggup menjadi suami terbaik buat Harlina dan mampu membimbing dia menjadi isteri solehah. Sebab uncle sudah tak kuat untuk memikul tanggungjawab itu.”

Dia terdiam mendengar harapan Tan Sri.

“Kesihatan uncle pun sudah bertambah merosot. Entahkan esok lusa sudah sampai masanya…”

“Jangan cakap begitu uncle…” celahnya. Memang baik kalau kita sering mengingati mati. Tapi apabila mendengar dari bibir Tan Sri Kamarul, hatinya terusik pilu.

“Uncle mahu lihat Harlina benar-benar dilindungi oleh seseorang sebelum uncle menutup mata,” luahnya sambil mengesat pipi.

Dia benar-benar terkejut dengan reaksi lelaki itu. Tangisan seorang bapa yang terlalu kasihkan anaknya begitu menusuk ke jiwa. Menular jauh ke lubuk hati yang paling dalam.

Memori itu sentiasa berputar di fikiran. Mungkin kerana peristiwa itulah yang telah mendorong tindakannya. Bagai ada suatu seruan yang melintasi hatinya, lalu berbisik agar dia melihat Harlina dengan satu pandangan yang tidak pernah tercetus selama ini.

Barangkali ALLAH telah membukakan pintu hatinya. “Barangsiapa yang ALLAH kehendaki mendapat petunjuk, DIA melapangkan dadanya untuk Islam…” Terjemahan ayat itu mengusik sanubarinya.

Mungkin ini hidayah daripada ALLAH. Sebagai satu amanah. Dan kerana itu juga, sudah beberapa kali dia menunaikan solat istikharah untuk mencari petunjuk dan petanda daripada DIA yang lebih mengetahui.

Tanpa sedar, hari demi hari ada naluri halus yang sentiada bergetar di dalam dadanya. Seakan ada suara yang bergema-gema di hati bahawa Harlina adalah gadis yang wajar dikahwini untuk memberi perlindungan padanya.

Setelah semuanya dipertimbangkan dengan akal dan hati, barulah dia yakin untuk berdepan dengan Tan Sri Kamarul. Niat sucinya mahu menyunting gadis itu diluahkan tanpa ada rasa ragu atau curiga.

Bab 4 ~ Lynn setuju?

“Sesiapa mempunyai dua orang anak perempuan lalu dilayan sehingga mereka mencecah zaman kematangan, dia akan mendampingiku memasuki syurga.”
(Hadis riwayat Muslim & al-Tarmizi)

PUAN MARLIA menghulurkan secawan kopi yang masih berasap nipis pada suaminya. “Minum, bang,” pelawanya sambil duduk di sisi suami yang sedang merenung jauh ke dada langit.

Gondola yang menjadi tempat mereka duduk bersantai hampir setiap hari berayun perlahan-lahan.

“Terima kasih, Mar,” ucap Tan Sri Kamarul sambil menyisip air kopi yang masih berasap nipis.

“Apa yang abang menungkan?” Puan Marlia duduk lalu memaut lengan Tan Sri Kamarul. Terasa amat bahagia sejak bergelar isteri di samping lelaki yang pernah menjadi majikannya dulu.

“Tak ada apa-apa, Mar. Abang cuma bersyukur kerana masih ada lelaki yang sudi melamar Lynn,” beritahu Tan Sri Kamarul sambil tersenyum senang. Seolah-olah, beban yang terjunjung di atas kepalanya selama ini beransur pergi.

“Abang yakin dengan Emir?”

“Tak ada lelaki lain yang lebih layak daripada dia. Sejak dulu lagi abang amat kagum dengan sifat dan keperibadian Emir. Sejak kecil, dia cukup penyabar dan bertanggunjawab dalam apa jua keadaan.”

Puan Marlia memandang dengan rasa tidak percaya.

“Memang sejak dulu lagi hati abang pernah terdetik untuk bermenantukan Emir. Sejak dia pulang ke tanah air tiga tahun lalu.”

“Jadi kenapa abang tunangkan Harlina dengan Hairul? Dan kenapa abang tak pernah suarakan hasrat abang?”

“Sebab abang rasa terlalu rendah diri. Kita memang berpangkat dan berharta. Tetapi keluarga Emir terlalu baik dan sempurna hingga abang bimbang untuk suarakan niat itu. Takut mereka salah sangka.”

“Salah sangka? Maksud abang?” soal Puan Marlia, masih kurang mengerti kenapa suaminya begitu merendah diri.

“Emir adalah seorang pemuda yang terlalu baik dan sempurna. Layakkah kalau abang minta Harlina digandingkan dengan dia? Lagipun abang takut mereka terima kerana rasa terhutang budi,” beritahu Tan Sri Kamarul perlahan.

Nafas panjang terhela daripada bibir Puan Marlia. Dia juga rasa tenang bila suaminya tidak lagi runsing dengan masalah anak tirinya itu.

“Syukurlah akhirnya impian abang dimakbulkan tuhan.” Dada Tan Sri Kamarul terasa kian lapang. Keputusan Emir memang mengejutkan. Tetapi dia amat terharu dan bersyukur kerana dia yakin Emir mampu menjadi seorang suami yang baik pada anak gadisnya.

“Rupanya Harlina putus tunang dengan Hairul bukanlah satu musibah pada keluarga kita. Tetapi besar hikmahnya… kan, bang.”

Tan Sri Kamarul mengangguk setuju. Memang pada mulanya dia amat sedih apabila pihak lelaki tidak sanggup meneruskan majlis pernikahan yang tinggal hanya tiga bulan. Namun, siapa sangka dugaan itu diganti dengan sesuatu yang lebih berharga.

Betapa gembira hatinya saat Emir datang dan meluahkan sendiri hasrat untuk merisik anak gadisnya. Hingga air mata lelakinya tumpah saat itu juga. “Kita dah banyak terhutang budi pada Emir, Mar… kalau tidak kerana dia dah lama abang muflis. Sudah lama Intra Holding berkubur.”

Dia masih ingat peristiwa tiga tahun lalu, ketika Intra Holding sedang berdepan dengan masalah kewangan yang cukup genting. Wang projek lesap berjuta-juta. Malah projek yang hampir siap tiba-tiba tergendala kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah.

Puas dia berhempas pulas mencari di mana silapnya. Tapi semuanya tidak berhasil. Dengan kesihatan yang semakin merosot dan keadaan syarikat yang terumbang-ambing, dia cuba memujuk Emir bekerja di Intra Holding. Tetapi pemuda itu menolak secara baik.

“Emir masih belum layak untuk berbakti di Intra Holding. Masih banyak yang perlu Emir belajar. Dan Emir juga lebih suka berdikari. Cukuplah apa yang uncle dah hulurkan selama ini. Terlalu banyak hingga tak terbalas.”

Memang begitu sikap Emir. Terlalu merendah diri dan amat berbudi bahasa. Tidak pernah riak dengan apa-apa kelebihan yang dimiliki.

Puas dia memujuk. Tetapi, kata Emir dia lebih berminat untuk memulakan perniagaan sendiri. Mahu belajar dan bertatih dari bawah.

Dia tahu pemuda itu berbakat besar. Empat tahun bekerja di Amerika Syarikat. Tentu banyak pengalaman dan ilmu perniagaan yang Emir timba di rantau orang.

Kerana keadaan yang memaksa, dia tidak punya pilihan selain mendesak Emir membantu menguruskan Intra Holding. Malah, dia begitu yakin ada duri dalam syarikat yang menjadi dalang kejatuhan empayarnya selama ini.

Akibat tekanan kerja, beberapa minggu dia dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung. Ketika itulah Emir tidak berdaya menolak hasratnya. Kerana rasa terhutang budi barangkali. Segala-galanya diserahkan ke tangan anak muda itu dengan harapan Emir mampu melakukan perubahan.

Memang dia rasa bersalah kerana terlalu memaksa. Namun, dia tidak sanggup melihat Intra Holding yang dibangunkan dengan jerit perihnya selama beberapa dekad yang lalu berkubur begitu sahaja.

Hanya kepercayaan yang diberikan kepada Emir. Dan ternyata semua itu tidak sia-sia. Dalam masa lima bulan sahaja Intra Holding mampu dipulihkan di bawah pengawasan anak muda itu. Rombakan jawatan dalam syarikat telah dilakukan secara besar-besaran. Malah Emir juga telah melantik beberapa kakitangan baru syarikat yang amat dipercayai.

Dan Intra Holding yang hampir tumbang akhirnya bangun juga setelah berjaya membongkar dalang-dalang yang cuba memusnahkan empayarnya. Bukan seorang dua. Malah lima orang tenaga penting syarikat yang diberi kepercayaan dan amanah selama ini telah berkomplot menggelapkan wang projek-projek besar.

Dari situlah dia terlalu terhutang budi dengan Emir. Harapannya, agar anak muda itu terus melupakan hasrat untuk keluar dari Intra Holding setelah habis tempoh tiga tahun.

Baginya, tiada lelaki lain yang lebih layak untuk menggantikan teraju tertinggi Intra Holding. Dulu, dia pernah memasang impian agar Hairul memikul tanggungjawab itu suatu hari nanti. Tetapi kini dengan apa yang berlaku, dia yakin Intra Holding hanya akan terus gah jika Emir yang menjadi peneraju.

Dan bila anak muda itu meluahkan hasrat mahu menyunting puterinya, dia amat bersyukur. Terasa impiannya selama ini bagaikan datang bergolek. Hanya pada Emir dijadikan sandaran untuk menggantikan tempatnya kelak.

Kalau hendak diharapkan Harlina, sudah lama syarikat itu rebah ke bumi barangkali. Gadis itu hanya tahu menghabiskan wang. Malah, pelajarannya juga separuh jalan. Tak terungkap rasa kecewanya dengan ulah Harlina. Apalagi dialah satu-satu zuriat yang dia ada bersama isteri pertamanya, Zalina.

Setelah berkahwin dengan Marlia, dia turut menerima zuriat lelaki. Tetapi Khair Adli baru sahaja berusia enam tahun. Dan anak tirinya, Risya pula masih menuntut di pusat pengajian tinggi dalam bidang bio teknologi. Ternyata minatnya tidak cenderung dalam perniagaan.

“Abang yakin Lynn akan setuju dia dijodohkan dengan Emir?”

Soalan isterinya menyentak lamunan Tan Sri Kamarul. “Arr… apa Mar cakap tadi?” soalnya terpinga-pinga.

“Lynn setuju?”

Tan Sri Kamarul tersenyum sambil mengangguk. “Abang percaya Harlina sanggup terima siapa sahaja calon suami pilihan abang, Mar. Sama seperti Kamal dan Hairul dulu.”

“Abang tak takut kalau dia buat hal seperti mana yang dia sudah lakukan pada mereka berdua?”

Tan Sri Kamarul tersenyum mendengar keresahan isterinya.

“Tidak Mar… abang tak bimbang lagi.”

“Tapi bagaimana kalau…”

“Janganlah awak risau…” celah Tan Sri Kamarul. “…bukan sehari dua Emir kenal dengan Harlina. Malah cukup lama.”

“Keluarga Emir?” Puan Marlia masih ragu-ragu.

“Kita tak perlu rahsiakan apa-apa tentang Harlina sepertimana yang kita lakukan pada Datuk Khalid dulu. Malah, awak sendiri tahu Haji Lukman dan Hajah Latifah sudah lama kenal kita. Kalau mereka tak boleh terima Harlina, tentu pinangan tak akan dihantar.”

Dia kesal dengan apa yang telah mereka sorokkan daripada pengetahuan Datuk Khalid dulu. Dan akhirnya apa yang dibimbangkan terbongkar juga.

Tetapi tidak dengan Emir. Anak muda itu memang sudah kenal benar siapa gadis yang akan dinikahinya. Masih tidak lupa bagaimana anak muda itu meluahkan hasrat.

“Uncle… izinkan saya menyunting Harlina sebagai isteri,” ujar anak muda itu sambil bertentang mata dengannya tanpa ada rasa gentar.

Dia tergamam. Pelbagai rasa sedang bergolak. Terasa dirinya sedang bermimpi di siang hari.

“Izinkan saya menjadi khalifah pada anak uncle.”

“E… Emir… betul ke apa yang uncle dengar?” soal Tan Sri Kamarul tergagap-gagap dalam sebak yang mula bergetar.

“Maafkan saya uncle… maafkan saya kerana tidak mengikut adat. Kalau uncle setuju saya akan minta abah dan umi datang untuk tetapkan segala-galanya.”

Dia terdiam. Kelu. Wajah tenang dan bersih Emir ditatap lama dan dalam. Ternyata anak muda itu bersungguh-sungguh.

“Err… uncle… saya sedar saya sepatutnya tidak layak…” ujar Emir merendah diri apabila agak lama dia mendiamkan diri.

“Tidak, Emir. Sebenarnya uncle rasa cukup bertuah. Malah lebih dari itu,” celahnya ketika anak muda itu mula merendah diri. Dia hanya mampu bersyukur tanpa henti. Permintaan Emir terlalu besar ertinya. Terasa harapan dan dunianya yang hampir kelam selama ini kembali bercahaya.

Emir masih tertunduk.

“Syukur ya ALLAH… syukur kerana kau perkenankan doa hamba-MU ini…” rintihnya dalam sebak sambil menadah tangan. Air matanya gugur juga bersama rasa terharu.

Emir memandang bagaikan tidak mengerti.

Tetapi dia cukup gembira hari itu. Tiada yang lebih membahagiakan daripada mendengar sendiri hasrat Emir untuk mengambil Harlina sebagai isteri.

Bab 5 ~ Ya! Don’t give up, Harlina

“Padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.”
(Surah al-Lail: 19-21)

“BETUL abang sudi terima Lynn sebagai isteri?” soal gadis itu di hujung talian dengan suara perlahan dan mendatar. Sedangkan bibirnya sedang menguntum senyuman yang penuh seribu makna. Tapi sayangnya lelaki itu tidak dapat melihat.

Emir mendengar dengan hati cukup senang. Suara lembut dan merdu itu sudah mula mencuri perhatiannya. Dia sendiri tertanya. Benarkah Harlina yang sedang berkata begitu? Kenapa sikapnya begitu tenang dan santun? “I’ll accept you whoever you are. Tak perlulah Lynn bimbangkan soal tu,” ujarnya bersahaja.

“Betul? Bukan sebab papa paksa?” soalnya menagih jawapan jujur dan ikhlas. Sebelum hubungan mereka dipatri, dia perlu tahu kebenaran. Malah, dia sudah mula membuat andaian bahawa lelaki itu sanggup menikahinya kerana desakan papa atau dia sebenarnya mahu membalas budi yang telah papanya tabur selama ini.

“I’m old enough to decide what I want.”

“Are you sure?” Harlina masih curiga.

“Tak ada istilah paksaan untuk mengikat perhubungan kita. Abang jujur mahu mengambil Lynn sebagai isteri. Tiada siapa suruh. Malah, abang juga tak mahu Lynn terima abang kerana desakan sesiapa.”

“Maksud abang?” tanya Harlina.

“Kalau Lynn rasa abang bukan lelaki yang selayaknya untuk bergelar suami, kita tak perlu teruskan rancangan ini. Kerana untuk memulakan sesuatu hubungan yang suci perlu lahir dari keyakinan.”

Harlina terus mendengar tanpa mencelah. Suara lelaki itu yang kedengaran begitu yakin membuatkan dia bertambah cuak.

A relationship is based on trust or faith, Lynn. Kalau ada rasa sangsi walaupun sedikit boleh mengundang masalah kemudian hari,” kata Emir.

Terdengar keluhan daripada bibir Harlina. Emir jadi tertanya sendiri. Apa sebenarnya yang bermain di fikiran gadis itu? Kenapa kedengaran berat desahnya. Mungkinkah dia asa terpaksa? “Lynn…”

“Err… ” Gadis itu bagai tersentak.

“Life is the sum of all your choices. Jadi jangan terburu-buru. Diteruskan atau tidak, abang akan terima dengan hati terbuka. Fikirlah semasak-masaknya.”

I’ll think about it. Just give me some time. Tapi Lynn juga tak mahu abang buat keputusan tanpa berfikir panjang dalam hal ini. Abang belum kenal siapa Lynn.” Tutur kata Harlina bagaikan mencabar dan memberi amaran.

“Abang terima Lynn seadanya. Baik dan buruk. Lagipun kita dah lama kenal. Dan abang tahu siapa gadis yang akan abang nikahi nanti.” Emir tidak tergugat. Malah dia cukup bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja helah bakal isterinya.

Sebaik meletak telefon, Harlina gigit bibir. Dia mendengus geram. Nampaknya laluannya kali ini lebih sukar. Tidak seperti Kamal Efendy atau Hairul. Senang saja ditundukkan. Tapi dengan Emir, hmm…

“Macam mana Lynn?” soal Tania dengan kening terjongket. Muka kelat temannya sudah memberi petanda kurang baik.

“Uhh! Payah beb! Payah!” jawab Harlina sambil meramas rambut lurusnya separas bahu hingga kusut masai. Dia mengangkat kaki ke sofa. Memeluk erat kedua lututnya.

“Apa yang payahnya?” soal Jojo pula sambil memandang temannya dengan rasa ingin tahu yang menebal. Perhatiannya ke skrin TV mula beralih pada gadis itu. Dia mengubah posisi duduk bertentangan dengannya.

“Macam kebal jer…” Meleret suara Harlina sambil memandang kedua teman baiknya bersilih ganti. Mulutnya muncung ke depan dengan mata terkelip-kelip bagai menahan perasaan. Kemudian keluhan berat dan panjang dilepaskan. Hatinya semakin walang.

“Eh! Kau kan banyak idea-idea pelik selama ni. Takkan kali ni dah mengeluh,” tempelak Jojo sambil mengangkat tangan kanannya. Menyindir. Geli hati bila tengok wajah gentar dan kelat gadis itu.

“Masalahnya… mamat ni lain sikit. Tak sama…” kata Harlina sambil menepuk paha kanan.

“Lain yang macam mana? Apa yang tak sama? Kan lelaki jugak. Pilihan papa kau dan bakal suami kau seperti Kamal dan Hairul.” Tania sudah garu kepala. Keliru dengan reaksi Harlina.

“Tapi dia lainlah Tania, Jojo… kau orang kan tahu kami dah lama kenal. Sejak kecil lagi. Dia dah tahu siapa aku, perangai aku. Baik dan buruk aku memang ada dalam poket dia. Kiranya aku memang dah kantoi kali ni. Bukannya senang nak nak mengayat Emir. Kau orang ingat senang?!”

“Habis tu kau dah mengalah? Kau sanggup kahwin dengan Emir?” Mata Jojo sudah bulat. Mulutnya ternganga. Dia saling toleh-menoleh dengan Tania. Kemudian kedua-duanya ternganga.

“Aku sanggup kahwin dengan dia. Aku rela sehidup semati!” tempelak Harlina dengan mata juling. Kemudian mencebek.

Jojo dan Tania sudah terkekek-kekek ketawa.

“Parah aku kalau macam ni!” keluhan Harlina kian berat. Jarinya mengurut dagu. Saling tak tumpah macam komander tengah atur strategi nak pergi perang.

Tania tersengih. “Baru mencabar, babe! Buku bertemu ruas. Aku pun dah teruja nak dengar muslihat kau kali ni. Hangat ke hangit,” seloroh Tania sambil menepuk paha temannya yang sedang kegelisahan.

“Kalau tak nak, kenapa tak tolak saja… kan senang,” usul Jojo.

“Itu bukan cara aku. Mengalah… tidak sekali-kali. Tapi aku mahu Emir sendiri yang menyesal dengan keputusannya. Begitu juga dengan papa aku!”

“Kau yakin?”

Soalan Jojo membuatkan Harlina mendesah sambil gigit bibir. Wajahnya tambah kelat dan tertekan. Dia sendiri tidak pernah terbayang papa akan memilih lelaki itu sebagai calon suami.

Peristiwa beberapa minggu lalu masih terakam kemas dalam kepala. Dia amat terkejut ketika melihat beberapa bekas hantaran tersusun cantik di ruang tamu sebaik pulang dari rumah Tania. Betapa hari itu adalah satu mimpi ngeri yang cukup menakutkan.

“LYNN… duduk dulu. Ada hal papa nak cakap sikit,” arah papanya ketika dia mahu berlalu terus ke bilik.

Dia menurut tanpa sebarang bantahan. Duduk bertentangan dengan papanya. Ibu tirinya juga turut serta.

“Emir dengan keluarganya datang merisik Lynn tadi.” Tanpa mukadimah terus saja papanya masuk ke isu penting.

Matanya terbuntang dengan berita itu. Memang terkejut. Rasa macam nak putus nafas. Terasa jantungnya bagaikan terhenti berdegup. Kepalanya seakan dihempap batu belah batu bertangkup. Air liur sudah mula terasa pijar dan terlekat di kerongkong. Terasa dunia sedang berputar laju. Betul ke apa yang aku dengar?

Baru sahaja dia hendak bernafas setelah Hairul membatalkan pernikahan mereka, kini dia terpaksa berdepan dengan ancaman baru? Secepat itu papa mampu mencari pengganti?

Aduh! Hebat juga papa. Senangnya dapat calon menantu. Macam boleh beli borong di pasar lambak. Hari ini pergi esok boleh ganti. Agaknya sudah tak sabar nak nikahkan aku supaya hidupnya lebih bahagia tanpa gangguan seorang anak yang dianggap sering menyusahkan dan memberi masalah!

Tapi, Abang Emir? Betul ke nama lelaki itu yang keluar dari mulut papa tadi? Benarkah calon papa adalah seorang lelaki yang sudah lama aku kenali? Bukan setahun dua. Tetapi sejak kecil lagi. Cuma hubungan mereka mula berubah renggang sejak masing-masing sudah mula meningkat dewasa.

“Siapa… siapa papa? Apa nama dia tadi?” soalnya dengan suara terketar-ketar. Bibir sudah terasa kebas. Benarkah telinganya tidak tersalah dengar?

“Emir… Abang Emir…”

“Abang Emir anak Pak Lukman?”

Ketika melihat papanya mengangguk, Harlina terasa jasadnya di awang-awangan. Kakinya seakan tidak berpijak ke bumi nyata. Dunianya kelam sesaat dua. Kenapa semua ini harus terjadi? Laungnya di dalam dada.

“Papa… papa bergurau, kan?”

“Papa tak akan bergurau dalam hal ini, Lynn,” beritahu papanya sambil tersenyum senang sambil berbalas pandang dengan ibu tirinya, Marlia. Mereka bagaikan sudah sepakat.

Ya… sepakat membawa berkat. Tapi baginya berita itu membawa malapetaka dan bencana.

“Papa amat berbesar hati menerima lamaran mereka. Tak sangka jodoh Lynn dengan Emir.”

Ceria sekali suara papa sedangkan dia sudah tergigit lidah. Semuanya serba tak kena.

“Papa gembira… papa rasa begitu bersyukur.” Kian berseri-seri senyuman papanya itu.

“Tapi… tapi pa…” Rasa hati yang sedang bergolak tak mampu diluahkan. Pandangannya menyapa sayu ke arah papa dan ibu tirinya yang nampak teruja nak sambut menantu.

Kalau beberapa minggu lalu dia boleh bergelak ketawa melihat wajah sugul itu apabila Hairul memutuskan ikatan, tetapi kini sebaliknya.

“Ini adalah permintaan Emir sendiri.” Berkali-kali papa menegaskan perkara yang sama.

Huh! Yalah tu! Entah-entah papa yang paksa. Dadanya sudah berombak. Rasa tidak percaya. Kenapa mesti dengan Abang Emir. Papa dah tak ada calon lain lagi ke? Bibirnya terasa kebas. Mahu menolak tak mungkin! Perjanjiannya sudah termetri dengan papa. Walau siapa sahaja yang digandingkan sebagai calon suami, dia sudi terima. Kerana ego yang tinggi melangit, dia tidak akan sekali-kali tarik diri.

“Harinya pun sudah ditetapkan… tarikh yang kita tetapkan dulu. Cuma pengantin lelakinya sahaja yang berubah.”

Kata-kata itu membuatkan nafasnya tercungap-cungap. Terasa lemah seluruh anggota. Sendinya seakan longgar. Bagaikan tidak berdaya berdiri lagi. Beberapa saat kemudian tubuhnya melurut jatuh ke lantai. Sayup-sayup terdengar namanya dipanggil berkali-kali.

“Lynn… apa rancangan kau sekarang?” Suara serak-serak basah Jojo yang ada iras-iras suara ratu rock  Ella itu menghalau jauh lamunannya.

Dia tersentap. “Err… hmm… entah… aku pun tak tahu lagi.” Keluhannya bertambah keras dan panjang. Menghantar rasa bimbang dan resah yang bukan sedikit. Tapi dia tidak boleh berputus asa. Mesti ada cara untuk menggagalkan rancangan papa. Fikir Lynn… fikir. Suara hatinya terus mendesak.

Ya! Don’t give up, Harlina. You just need a few moments to think and plan a new agenda. Suara itu terus menghasut.

Dan kini bibirnya sudah mula tersenyum. Dia percaya, pasti ada jalan untuk membuatkan lelaki itu menarik diri. Ini Harlina Binti Tan Sri Kamarul. Aku pasti lelaki itu akan tunduk juga. Hatinya berbisik dengan rasa riak dan angkuh.

Tanpa gadis itu sedari, sesungguhnya… “Janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong. Sesungguhnya engkau tiada dapat menembusi bumi dan takkan sampai engkau setinggi gunung.” ~ surah al-Isra’ : 37

Bab 6 ~ Abang tak kisah…

“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka lakukan.”
(Surah an Nur: 30)

“ENCIK EMIR… Cik Harlina mahu jumpa. Dia ada di luar,” beritahu Lily melalui interkom.

Tan Sri Kamarul mengangkat kepala. Fail projek Twin Land yang sedang disemak ditutup. “Emir ada appointment dengan Lynn?” soalnya.

Emir menggeleng. “Tak uncle,” jawabnya.

Benak Tan Sri Kamarul diserbu tanda tanya. Tentu ada sesuatu yang Harlina cuba lakukan kali ini. Dia mengeluh. Dia rasa kurang senang dengan kehadiran anaknya ke pejabat.

“Suruh dia masuk,” arah Emir sambil melepaskan nafas panjang. Sesungguhnya dia belum bersedia untuk bertemu secara bertentang mata dengan gadis itu. Kehadirannya yang begitu mengejut menghambat rasa debar di dadanya.

“Hai, Abang Emir,” sapa gadis itu dengan suara lemak manis sebaik melangkah masuk. Namun, langkah terhenti seketika apabila melihat papanya juga ada di situ. Wajahnya terus mendung kelabu. Terasa nak angkat kaki langkah seribu. Tapi sayang sudah terlambat.

Mata Tan Sri Kamarul sudah tajam menikam. Pandangannya mencerun tajam. Penampilan Harlina ketika itu membuatkan dadanya turun naik secara mendadak. Kian berombak.

Emir pula tertunduk. Dia beristighfar di dalam hati. Matanya seakan tidak sanggup melihat pemandangan yang ada di depannya ketika itu. Sungguh menjolok mata. Terasa menggigil juga tubuhnya. Jantungnya berlari laju. Namun dia sedar, semua itu hanya permainan Harlina.

Gadis itu melangkah menghampiri dengan kaki gementar. Dalam berani, cuak juga dia. Tambah pula pandangan papanya begitu menggerunkan. Namun, dia kuatkan semangat untuk meneruskan rancangannya. Alang-alang memasang jerat biar sampai dapat habuan. Dia tidak sanggup berputih mata.

“Lynn! Kamu nak ke mana berpakaian begini?” Suara Tan Sri Kamarul bernada tegas.

Wajah anak gadisnya sekelumit pun tidak menampakkan rasa bersalah.

Terasa darah panas menyimbah ke muka Tan Sri Kamarul. Dia cukup malu dengan perangai dan tingkah laku anaknya. Apa lagi bila datang ke pejabat dengan berpakaian begitu. Tentu sahaja menjadi buah mulut pekerja bawahannya.

Gadis itu hanya mengetap bibir lalu dengan selamba duduk bersebelahan dengan papanya sambil bersilang kaki.

Tan Sri Kamarul hanya mampu menggeleng. Terasa sebak dadanya. Kenapa anak gadis yang dulunya cukup manis dan baik boleh berubah begini sekali? Apa salahku ya ALLAH? Betapa aku telah gagal menjadi bapa yang sempurna padanya. Hati Tan Sri Kamarul merintih sayu.

“Uncle… boleh kita sambung kemudian?” pinta Emir lembut apabila menyedari ada aura tegang antara mereka ketika itu.

Tan Sri Kamarul berdiri. Desah nafasnya begitu deras. Matanya melirik ke arah Harlina lalu melangkah meninggalkan mereka berdua dengan segera. Kalau semakin lama dia di situ, takut kesabarannya melayang.

“Kenapa Lynn nak jumpa abang?” soal Emir sambil melirik pada gadis di depannya sekilas lalu matanya tertunduk semula ke fail di atas meja. Dia seolah-olah sedang meneliti laporan projek sedangkan akalnya tertanya-tanya tentang kehadiran gadis itu.

Kenapa begitu sekali penampilannya? Dengan jeans koyak di peha dan lutut. Menampakkan kulitnya yang putih gebu. Tentu sahaja menjentik hatinya. Puas dia beristighfar.

Kalaulah umi nampak apa yang dipakai Harlina ketika ini, boleh pengsan agaknya. Atau mungkin umi sanggup suruh dia batalkan saja pernikahan mereka. Dengan penampilan Harlina sekarang, jauh sekali seperti bakal menantu yang umi angankan selama ini.

Entah kenapa akalnya sudah mula membuat perbandingan penampilan Harlina dengan Intan. Cukup tertib dan sopan. Tetapi gadis itu juga yang menjadi pilihannya sebagai isteri.

“Saja… Lynn keluar dengan kawan tadi. Kebetulan lalu di sini. Sengaja Lynn singgah untuk jumpa abang,” beritahu gadis itu dengan suara manja sekali dan tubuh meliuk lentok.

Harlina sendiri terasa geli-gelaman dengan tingkahnya saat itu. Tapi memandangkan hari pernikahan yang akan menjelang tidak sampai lagi dua bulan, dia perlu kuatkan semangat.

Inilah pertama kali Emir melihat Harlina sedemikian rupa. Selalunya dia melihat gadis itu lebih kasual. Tetapi kali ini agak keterlaluan pula. Dia tahu Harlina hanya mahu menguji sejauh mana dia sanggup menerima dirinya. Segala permainan gadis itu sudah ada dalam pengetahuannya.

Harlina hanya mahu dia membatalkan hasrat untuk menikahinya sebagaimana yang pernah dilakukan pada Hairul. Tapi Harlina silap. Dia tidak akan terpedaya dengan tipu helahnya kali ini. “Lynn dari mana dengan baju begitu?”

Shopping…”

Shopping?!” Emir angkat kening. Kemudian menggeleng. “Buat suspens aje. Mati-mati abang ingatkan Lynn accident tadi. Manalah tahu, jatuh motor ke sampai koyak rabak seluar,” ujar Emir sambil meraup tangan ke muka.

Mata Harlina terus melolot mendengar kata-kata Emir. Dia ketap bibir. Hatinya terasa panas. Ini sudah lebih!

“Habis tu… lepas ni Lynn nak ke mana?” tanya Emir.

Harlina menjongket bahu. Dia sedang menahan perasaan. Kalau ikutkan hati sudah lama bakal suaminya itu makan penampar. Paling tidak pun kena hentak dengan siku. Terasa pedas kata-katanya tadi. Menyengat sungguh!

Emir letak beberapa keping wang 50 depan Harlina.

“Apa ni, bang? Duit apa ni?” soal Harlina curiga.

“Abang rasa Lynn kena beli jeans barulah. Jeans tu kan dah koyak. Elok kalau Lynn buang terus. Kalau sedekah pada fakir miskin pun abang berani jamin, tak ada siapa yang berminat.”

Aduh! Terasa dadanya sedang dipalu dengan gong. Nafas Harlina turun naik dengan pantas. Matanya mencerlung tajam memandang lelaki di depannya yang bersikap selamba sahaja.

Hisy!!! Tak guna betul. Kau mainkan aku Emir. Nanti kau! Takkan anak Tan Sri tak ada duit nak beli jeans baru. Bodoh! Rahangnya sudah berlaga. Namun, dia tetap bersabar. Cuba memaniskan muka dan menghantar senyuman bergula.

Tapi dia sendiri tahu, tentu sahaja bibirnya sudah kelihatan senget benget. Hatinya sakit dengan reaksi Emir. Lain yang diharapkan, lain pula kesudahannya. Namun, dia tak akan mengaku tewas.

Padan muka sendiri. Yang gatal sangat pinjam jeans Tania kenapa? Sudahlah ketat macam sarung nangka. Sekarang, percuma sahaja diperlekehkan oleh bakal suami sendiri. Langsung tak berkesan!

“Tak apalah bang, Lynn ada duit sendiri. Abang jangan risau,” ujar Harlina sambil mengawal nada. Sedangkan di dalam hati berbakul sumpah seranah dihambur geram.

“Ada yang penting Lynn nak jumpa abang?” soal Emir. Wajah gadis itu yang tidak keruan ditatap dengan rasa geli hati. Namun, cuba dikawal sebaik mungkin.

“Lynn… Lynn cuma nak pastikan abang betul-betul bersedia terima siapa Lynn yang sebenarnya. Lynn bukan gadis yang sempurna, bang.” Harlina menongkat dagu sambil terkebil-kebil merenung Emir.

“Abang tak kisah…”

“Tak kisah?” soal Harlina sambil telan liur.

“Seperti yang abang katakan sebelum ni. Abang sedia terima baik dan buruk Lynn. Dan begitu juga abang harap Lynn terima diri abang. Dan kita akan sentiasa cuba memperbaiki diri untuk jadi lebih baik.”

“Tapi bang…”

“Lynn tak perlu risau…”

“Tapi Lynn tak pandai masak, tak tahu kemas rumah, tak tahu layan suami… senang cakap serba serba serbi tak tahu. Dan Lynn sendiri pun tak yakin mampu pikul tanggungjawab seorang isteri. Lynn kan muda lagi. Tak sempat khatam ilmu rumah tangga,” ujar Harlina panjang lebar.

Emir tenung wajah bakal isterinya lama. Dalam sekali renungannya.

Naluri Harlina sudah berkocak dengan pandangan bening itu. Aduh! Tampan juga rupanya Abang Emir. Janggut sejemput terjaga rapi dengan wajah bersih dan licin walaupun kulitnya sedikit gelap. Persis Remy Ishak, pelakon lelaki idaman Malaya dalam cerita drama bersiri Nur Kasih.

Tapi, ah! Lynn… jangan terpedaya. Lelaki semuanya sama. Hari ni semuanya okey. Tak ada masalah. Tapi esok bila dah bernikah… mulalah semua tak kena. Itu salah. Ini tak betul.

“Kita belajar sama-sama, ya. Mana yang mampu abang akan bantu. Kalau kita mampu tolong-menolong dan bertolak-ansur, insya-Allah segalanya akan berjalan dengan lancar.

Hati Harlina semakin sakit. Ishk! Susahnya bercakap dengan lelaki ni. Tenang sungguh! Dia sendiri sudah kehabisan ayat dan modal untuk menghasut. Bibirnya diketap geram.

Sabar Lynn… jangan mengalah. Fikir… fikir… cari idea macam mana nak buat supaya Emir serik untuk memperisterikan dirinya. Tak apa… kalau hari ni tak jadi. Esok cuba lagi!

SETELAH Harlina keluar dari biliknya, Emir tersandar di kerusi dengan nafas lega. Berjaya juga dia berdepan dengan bakal isterinya buat pertama kali sejak mereka ditunangkan.

Semua yang berlaku terasa begitu pantas. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dirinya bakal bergelar suami tidak lama lagi. Tidak sampai dua bulan sahaja, gadis itu akan menjadi suri hidupnya.

Ya! Isteri dan amanah. Malah, satu tanggungjawab yang cukup besar. Mampukah dia? Namun dia pasti, berkat restu daripada umi dan abah, segalanya pasti akan berjalan lancar.

“Kalau along dah tekad mahu mengambil Harlina sebagai isteri, umi tak akan halang. Cuma umi harap along mampu bimbing dan didik dia menjadi isteri yang solehah,” ucap umi sayu.

“Terima kasih, umi.” Betapa jawapan umi memberi makna yang cukup besar kepadanya. Restu kedua ibu bapanya begitu penting sebelum membina rumah tangga yang akan kekal bahagia.

Dan kini hari demi hari, dia cuba bersedia menjadi suami yang selayaknya. Banyak buku-buku yang dijadikan rujukan untuk mempertingkatkan pengetahuan. Malah, nasihat abah juga banyak menyedarkan dirinya untuk lebih yakin menempuhi hidup baru yang bakal dilaluinya. Insya-ALLAH…

Bab 7 ~ Saya terima Harlina seadanya

“Kebahagiaan terletak pada kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak yang berlebih-lebihan.”
(Imam Al-Ghazali)

SEBAIK melangkah masuk ke rumah mewah itu, Emir terus bersalaman dengan Tan Sri Kamarul, kemudian melemparkan senyuman pada Puan Marlia yang sedang berdiri di sisi suaminya

“Selamat hari jadi, auntie,” ucap Emir sambil menghulurkan bungkusan sederhana besar berbalut kemas kepada wanita itu. Tidak lupa sejambak bunga lily putih dengan baby breath.

“Terima kasih, Emir…” kata Puan Marlia sambil tersenyum.

“Semoga auntie sentiasa bahagia, dirahmati ALLAH dan…” Emir menggantung ayat seketika.

Tan Sri Kamrul dan Puan Marlia tertunggu-tunggu.

“Awet muda selalu…”

Ayat penyudah Emir disambut dengan ketawa mereka.

“Kamu ni, Emir. Sempat lagi nak sakat auntie. Buat susah-susah saja datang bawa hadiah. Jemputlah masuk,” pelawa Puan Marlia.

“Ramai ke jemputannya,” soal Emir apabila menyedari dia datang agak awal dan tiada tetamu lain ketika itu.

“Tak ada tetamu lain, Emir. Auntie yang tak mahu begitu. Dia lebih suka buat majlis tertutup,” beritahu Tan Sri Kamarul sambil tersenyum pada isterinya.

“Auntie lebih suka kita sekeluarga berkumpul makan malam bersama. Emir pun tak lama lagi akan jadi sebahagian daripada keluarga ni,” kata Puan Marlia sambil tersenyum.

Emir sekadar tersenyum. Kemudian dia bersalaman dengan Khair Adli yang baru turun dari tangga. “Uncle dengan auntie sihat?”

“Macam nilah Emir… orang tua. Ada pasang surutnya. Kerja di pejabat pula semakin bertambah. Lagi-lagi projek Twin Land,” jawab Tan Sri Kamarul.

“Hmm… no business talking tonight, please,” celah Puan Marlia sambil tersenyum lebar. Dia memang sudah maklum tentang suaminya yang suka membincangkan soal pejabat tanpa mengira masa.

Tan Sri Kamarul mengangkat kedua tangan. “Well… for you my dear, we can make an exeption tonight.”

Puan Marlia tersenyum gembira. “Jemputlah Emir… mari kita ke meja makan. Khair tolong panggilkan Kak Lynn. Beritahu dia tetamu dah sampai,” arahnya pada anaknya yang berumur enam tahun itu.

Tetapi Khair mula mendesah. Wajahnya kelat. “Ibu… suruh Kak Firza panggilkan tak boleh ke?” soalnya seolah-olah membantah.

“Khair!” tekan Puan Marlia sambil mengeluh.

Dengan dahi berkerut dan langkah berat, Khair Adli menurut juga. Langkahnya begitu lambat sekali.

Emir duduk di meja makan yang sudang terhidang dengan pelbagi jenis lauk pauk yang cukup membuka seleranya. “Banyaknya auntie masak.”

“Lauk biasa saja, Emir. Lagipun Mak Limah yang tolong.”

“Auntie Marlia ni memang suka memasak, Emir. Memang tiada tandingannya. Sebutlah makanan apa sekalipun. Semua auntie tahu. Sebab itulah uncle lebih suka makan di rumah daripada di luar.”

“Abang ni… puji lebih-lebih saja.”

“Tapi betul apa yang abang cakap, Mar. Saya lebih sayangkan awak kerana hasil air tangan yang selalu awak hidangkan.”

“Ada-ada saja abang ni,” ujar Puan Marlia malu-malu sambil tersipu. “Yalah… asyik berbual saja. Tetamunya belum dijemput makan.”

“Jangan malu-malu Emir. Biasakan diri tu, ya.” sapa ckp

Emir sekadar tersenyum dan mengangguk. Ya, inilah masanya mahu membiasakan diri. Bergaul dan bermesra dalam keluarga yang cukup ternama dan berpengaruh. Sudah lama dia mengenali mereka. Tapi cara hidup Tan Sri Kamarul dan keluarganya bagai langit dengan bumi.

Lihat sahaja hidangan di atas meja. Masakan western. Walaupun bertahun-tahun menetap di New York, namun hidangan sebegitu tidak pernah menjadi kegemaran tekaknya. Seleranya berbeza.

Dia lebih senang dengan masakan ala kampung. Tambah pula ikan pekasam dan sambal belacan. Air liurnya akan kecur hanya dengan mencium asap dari dapur umi yang sedang berkepol-kepol.

Firza, Khair Adli dan semua penghuni rumah sudah duduk di meja makan. Termasuk Mak Limah.

Emir pandang pada mereka seorang demi seorang sambil berbalas senyuman. Mak Limah dengan selendang dan baju kurung kedahnya. Tan Sri Kamarul dan Khair Adli tampak segak berbaju Melayu. Puan Marlia dan anak gadisnya juga begitu sopan berbaju kurung dan kebaya. Tapi sayang… “Err… Lynn mana auntie?” soalnya.

“Eh… kamu ni. Di depan kamu tu kan Lynn. Hai! Dengan tunang sendiri pun dah tak kenal?” soal Tan Sri Kamarul sambil berbalas pandang dengan isterinya. Saling tersenyum.

Emir mengecilkan anak mata. “Lynn…” ujarnya bagaikan sedang tertanya-tanya. Bukannya dia tidak kenal dengan gadis itu. Tetapi ada sesuatu yang kurang menarik di depan matanya.

“Takkan kamu tak kenal?” soal Puan Marlia pelik.

“Patutlah rasa macam kenal… cuma nampak lain.”

Bicara spontan Emir buatkan Tan Sri Kamarul dan isterinya tersenyum simpul. Mak Limah dan Firza sudah menekup mulut. Hanya Khair Adli yang bebas dengan ketawa lepasnya.

Tapi yang pasti wajah Harlina berkerut seribu. Tajam dengan muncung landak yang sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Emir sekadar tayang wajah tidak bersalah dengan komennya tadi. Dia sendiri memang tidak dapat menahan hati daripada berkata begitu.

Tunang mana yang boleh senang hati bila gadis yang bakal dinikahinya hanya berpijama dengan tocang tinggi dan scrub mask yang bertempek di muka. Tidak kena langsung dengan majlis yang diraikan!

Rupanya gadis itu cukup bijak dengan muslihat. Dalam selamba dia sebenarnya sedang melancarkan perang. Tapi tidak semudah itu Harlina. Kerana Emir Nazreen bin Haji Lukman bukan seorang lelaki yang cepat melatah. Tak akan tunduk dengan taktik semudah ini!

Patutlah sikap Harlina selalu saja buat Tan Sri Kamarul sakit jantung! Memang mencabar kerenahnya. Tidak pernah peduli dan ambil pusing pandangan atau perasaan orang lain.

“Harlina?” soal Emir dengan mata terbelalak dan mulut ternganga. Jarinya bermain-main di janggut sejemput. Lagak terkejut bukan kepalang. Padahal, awal-awal lagi dia sudah mengecam tunangnya itu.

Harlina ketap bibir. Terasa berdesing telinga. Kalau ikutkan hati, sudah lama lelaki itu dihalau pergi dari rumahnya. Jaga kau Emir, sekarang kau boleh tersenyum… lain hari kau akan tahu aku siapa’, gerutu hatinya yang sedang panas.

Tan Sri Kamarul tidak dapat menahan rasa geli hati. Dia juga ikut ketawa. Lalu disambut mereka yang lain. Sejak tadi, dia memang terkejut ketika melihat anak daranya turun dari bilik.

Kalau ikutkan hati sudah lama ditegur. Tapi dia mahu melihat bagaimana penerimaan Emir. Adakah pemuda itu cepat melatah dengan tingkah anaknya? Tapi ternyata pemuda itu cukup bijak menangani kerenah Harlina. Malah, cukup halus tetapi menyengat. “Kamu dah kenal?” tanya Tan Sri Kamarul.

Emir tersenyum. “Maaf… memang saya tak perasan tadi. Nasib baik tak silap orang. Dari tadi saya sangkakan Firza adalah Harlina. Nampak manis dengan kebaya labuh. Tapi bila tengok betul-betul… salah orang rupanya. Nasib baik saya tak main mata dengan Firza tadi.” Emir berseloroh.

Semakin gamat jadinya. Ketawa mereka saling bergema. Firza pula sudah tersipu malu.

Komen spontan Emir lebih menambah sakit hati Harlina. Lain yang diharapkan. Lain pula yang jadi. Sangkanya tadi, Emir akan sakit hati dan marah dengan caranya. Tapi sekarang dirinya pula yang dijadikan bahan ketawa.

“Betul cakap Emir. Kan lebih manis kalau Lynn juga berbaju kebaya seperti Firza.” naratif

Harlina mengeraskan diri. Memang begitu sikapnya. Lebih suka membantah dari menurut kata. Setiap arahan bapanya yang dibangkang merupakan satu kemenangan baginya.

“Eh! Tak apalah uncle… mungkin Lynn lebih selesa begitu. Saya tak kisah,” balas Emir sambil berbalas pandang dengan Harlina. Senyuman paling manis dihadiahkan buat gadis itu.

“Lynn…” Suara Tan Sri Kamarul kali ini sedikit tegas.

“Saya betul-betul tak kisah. Sekurang-kurangnya saya boleh lebih mengenali cara Harlina di rumah. Tak adalah saya terkejut bila sudah kahwin nanti.”

Khair Adli dan Firza masih tersengih-sengih.

Tan Sri Kamarul hanya mampu menggeleng. Tetapi kesabaran Emir begitu memikat hati tuanya. Dan dia yakin lelaki itu adalah pilihan terbaik untuk dijadikan menantu.

“Saya terima Harlina seadanya,” ujar Emir cukup meyakinkan sambil menghantar pandangan penuh makna pada Harlina. Malah diutuskan senyuman paling manis untuk menjadi penawar wajah kelat itu.

Gadis itu membalas dengan mata mengecil. Nampaknya Emir bukan lelaki sembarangan. Nampak naif tapi sebenarnya lebih keras dan kental. Tidak mudah untuk mencarikkan hatinya seperti mana si Hairul. Dan dia perlu lebih bijak merancang strategi yang lebih berkesan.